Sumber: QUOTES4all

Iklan berbayar

28 Februari 2013

0

Sifat Terpuji Pelajar Tingkatan 1

KAMARUL HALIM M KAMAL
28 Februari 2013
Pelajar tingkatan satu pulangkan wang tercicir RM37,500
Amir Azizan (kanan) dan gurunya Mohd Taat menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya
Pelajar tingkatan satu pulangkan wang tercicir RM37,500
Amir Azizan menunjukkan S$10, nilai sama yang diberikan kepadanya oleh wanita yang tercicir S$15,000
BATU PAHAT – Seorang pelajar tingkatan satu sanggup mengayuh basikalnya sejauh 200 meter untuk mengejar sebuah kereta dipandu seorang wanita untuk memulangkan semula beg tangan mengandungi S$15,000 (RM37,500) yang tercicir.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Esa, Amir Azizan Hashim, 13, mengakui tindakannya itu didorong oleh pesanan ibu tersayang supaya memulangkan kembali setiap barang yang ditemui kepada pemiliknya.

Menurutnya, beg tangan itu terjatuh di tempat letak kereta di sebuah pasar raya setelah wanita terbabit meletakkan beg tangan berkenaan di atas bumbung kereta sebelum meninggalkan lokasi, dipercayai untuk pulang ke Singapura.

“Saya tetap ingat pesanan emak, jika terjumpa barang orang kena pulangkan, kalau boleh beri pada pemiliknya. Kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 10 pagi, awal Januari lalu. Ketika itu saya sedang membeli surat khabar berhampiran sebuah pasar raya yang terletak di Taman Soga.

“Saya menaiki basikal dari rumah yang terletak berhampiran pasar raya itu sebelum ternampak seorang wanita sedang menaiki kereta jenis Nissan berwarna hitam dan beg tangannya berada di atas bumbung kereta.

“Saya percaya wanita berusia lingkungan 30-an itu tidak menyedari beg tangannya berada di atas bumbung kereta sebelum dia terus menggerakkan kenderaannya dan berlalu dari situ,” katanya kepada Sinar Harian.

Amir berkata, sebaik beg tangan wanita itu terjatuh, dia segera bertindak mengambil beg tangan berkenaan dan terus memeriksa kandungannya seterusnya mendapati satu sampul surat mengandungi wang tunai Singapura, dokumen pengenalan diri dan seutas jam tangan.

“Ketika memeriksa beg berkenaan, saya mendapati terdapat satu sampul surat yang mengandungi wang tunai dollar Singapura selain pasport dan seutas jam tangan dipercayai milik wanita terbabit.

“Saya terus mengayuh basikal mengejar kereta berkenaan untuk memulangkan semula beg tangan miliknya. Alhamdulillah saya dapat mengejarnya ketika di simpang jalan seterusnya memulangkan kembali beg terbabit,” katanya.

Beliau berkata, terharu dengan keikhlasannya, wanita terbabit beberapa kali mengucapkan terima kasih dan menghulurkan sejumlah wang sebagai sagu hati kepadanya.

“Saya tidak menerima wang berkenaan kerana teringat pesanan daripada ibu dan ayah yang kerap kali menasihati saya untuk tidak menerima apa-apa pemberian daripada orang yang tidak dikenali. Wanita itu bertanya beberapa maklumat diri saya antaranya alamat sekolah sebelum dia berlalu pergi dan saya terus pulang ke rumah dan menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu dan ayah.

“Emak puji tindakan yang saya lakukan dan menasihati saya untuk meneruskan sikap sebegini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Dato’ Syed Esa, Mohd Taat Kasran berkata, sikap yang ditunjukkan pelajar sekolahnya yang bertindak jujur memulangkan semula wang dan beg tangan berkenaan sangat dipuji.

“Wanita terbabit menghubungi pihak sekolah beberapa hari selepas kejadian bagi memaklumkan berhubung keikhlasan Amir yang sanggup memulangkan wang miliknya sebanyak S$15,000 (RM37,500).

“Kami seluruh warga sekolah sangat berbangga dengan tindakan Amir yang diharap dicontohi pelajar lain bukan saja di sekolah ini, tetapi di sekolah lain di seluruh negara. Sebagai penghargaan, pihak sekolah beri sijil kepada Amir bagi menghargai tindakannya,” katanya.


Baca penuh...

26 Februari 2013

0

INI KALILAH

Semasa kecil susah
Kita tidak menyedarinya
Peluh ibu bapa menyuburkan bumi
Demi sesuap nasi
Agar kita terus bertumbuh segar

Ketika ibubapamu berkaki tiga
Mereka tiada lagi kudrat
Kita pula semakin menyedari
Beginilah akhirnya suratan hidup

Kita terbelenggu dalam dilema
Perlukah kita menjaga mereka
Sekadar membalas jasa mereka
Yang mencorakkan kita sebagai insaniah
Sedangkan kita juga berhempas-pulas
Demi anak kesayangan kita

Sungguh ibu bapa takkan mengharap
Sesuap nasi dari anaknya
Selagi mereka rasa terdaya
Sesuap akan digagahi
Apakan daya badan mereka semakin kering
Menanti perhentian terakhir jantung
 Lalu kita tersedar
Segala yang di bumi hanya pinjaman
Ibu bapa bukannya milik kita
Anak-anak hanyalah kurnia
Bukannya untuk dibelasah
Tapi untuk menguji kita
Sedalam mana kesyukuran pada pencipta  

Hari esok yang tidak pasti 
Adakah kita cukup bekalan 
Menghadapi hari-hari mendatang 
Apabila kita tiada kudrat 

 Ini kalilah 
Kita teruskan bangkit 
Luruskan jalan untuk anak-anak kita 
Sama seperti ibu bapa kita dulu 
Merintis laluan pelangi demi kita 
Janganlah sesiapa terus lena 
Dibuai mimpi indah sepanjang waktu 
Yang pasti kita punya giliran 
Bila-bila masa kita berangkat 
Sedangkan jasadpun kita tinggalkan 
Kerana tiada satupun milik kita yang abadi


Baca penuh...