Sumber: QUOTES4all

Iklan berbayar

22 April 2011

ANDA ADA PILIHAN



Tajuk : Anda Ada Pilihan

Pengarang : Ibrahim Noor, Dr.

Penerbit : Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

ISBN : 967-61-1700-5


RINGKASAN EKSEKUTIF

Buku setebal 198 muka surat ini sesuai dibaca oleh individu yang bermatlamat meningkatkan jati diri. Isi kandungan buku ini disusun dalam 25 bab dan dilengkapi dengan ilustrasi untuk memudahkan kefahaman pembaca.

Dalam bab pertama, penulis mendefinasikan jati diri tinggi sebagai kuat dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani. Bab ini diolah secara ringkas dan pembaca boleh meneka matlamat buku ini sebaik sahaja selesai membaca bab tersebut.

Dalam bab kedua dan seterusnya, penulis memberi gambaran bahawa terdapat empat kelahiran diri kita semasa berada di dunia ini iaitu kelahiran sel, fizikal, psikologikal dan sosial. Kelahiran sel yang sihat dalam rahim ibu adalah dibentuk secara sihat oleh pemakanan ibunya. Kelahiran fizikal iaitu bayi yang sihat adalah diwarisi sejak dalam kandungan. Ini bermakna tabiat ibu bapa semasa bayi dalam kandungan amat mempengaruhi keadaan fizikal bayi. Penulis memberikan contoh mengenai ibu bapa yang menagih dadah bakal mewariskan kuman HIV kepada bayi.

Kelahiran psikologikal pula bermula sejurus selepas kelahiran fizikal. Kelahiran fizikal yang berkualiti berkait rapat dengan kesempurnaan penjagaan bayi oleh kedua ibu bapa. Manakala kelahiran sosial bermula sebaik sahaja bayi tersebut menjadi kanak-kanak. Setiap masa kanak-kanak akan mencerap suasana pergaulannya dengan kanak-kanak lain.

Penulis turut menekankan bahawa minda yang sihat berupaya menerima dan mengurus secara positif segala maklumat yang kita lihat, dengar, rasa, hidu dan sentuh. Manusia bertindakbalas terhadap kesoronokan atau kesakitan. Pada dasarnya prinsip keseronokan dan kesakitan adalah sama bagi setiap manusia. Beza hanyalah dalam takwa dan iman. Bagi yang bertakwa dan beriman, mereka akan melakukan sesuatu yang memberi keseronokan tetapi berfaedah kepada agama, masyarakat dan diri sendiri.

Namun begitu penulis menyarankan agar kita menerima hakikat keunikan individu lain kerana minda kita masing-masing mempunyai metaprogram. Metaprogram kemungkinan adalah bagi individu ynag inginkan kebebasan dalam meneroka sesuatu yang baru. Metaprogram kemestian pula adalah untuk individu yang tegas memilih untuk melakukan sesuatu berpandukan apa yang ada atau telah ditetapkan.

Penulis turut menjelaskan mengenai metaprogram proaktif yang membolehkan individu melakukan sesuatu atas inisiatif sendiri tanpa menunggu arahan pihak lain. Ia pro dengan tindakan metaprogram reaktif yang mana menunggu pihak lain untuk membuat sesuatu dan biasanya akan bertindak apabila disuruh.

Terdapat juga metaprogram pilihan menyeluruh atau spesifik. Individu yang memilih metaprogram menyeluruh suka melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut dan berkebolehan merangka strategi jangka panjang. Manakala metaprogram spesifik memilih hal yang kecil untuk dirangkumkan menjadi gambaran yang penuh.

Dalam bab ke-14 hingga terakhir, penulis menggambarkan bahawa kecemerlangan diri bakal terserlah apabila kita berjaya mengamalkan nilai-nilai murni dalam segala gerak-geri dan perlakuan.

Sebagai kesimpulannya, nilai murni dapat diamalkan dengan memprogramkan kepercayaan positif dalam diri kita terlebih dahulu. Amalkan kepercayaan positif sepanjang masa dan berusaha mempertingkatkan kebolehan dengan menguasai ilmu dan kemahiran. Namun begitu, kebolehan diri hendaklah dikenalpasti terlebih dahulu sebelum menumpukan sepenuhnya dalam usaha tersebut.


PEMBELAJARAN YANG DIPEROLEHI


  1. Kegagalan yang dialami adalah satu cabaran;

  2. Kejayaan memerlukan usaha yang gigih;

  3. Sentiasalah mempertingkatkan diri dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani;

  4. Menghormati pendapat dan kepercayaan individu lain;

  5. Agama, masyarakat, bangsa dan negara menghargai setiap sumbangan kita.



APLIKASI DI DALAM ORGANISASI


  1. Penetapan matlamat yang positif haruslah boleh diukur dan bersifat aktif serta impaknya boleh dirasai oleh masyarakat;

  2. Pelan tindakan perlu dirancang dan dijadualkan agar dapat memaksimakan penggunaan masa;

  3. Usaha tindakan pembetulan setiap kesilapan memainkan peranan penting agar matlamat yang dirancang tidak tersasar;

  4. Bahagikan apa yang hendak dilakukan kepada aktiviti yang mudah dan disiplinkan diri untuk melakukan apa yang perlu dengan gigih;

  5. Letakkan aktiviti yang paling penting sebagai keutamaan.



FRANCIS LABI

Penolong Pegawai Perpustakaan

Kolej Matrikulasi Labuan


Tarikh: 18 April 2011


Jika ada buku yang kamu ingin baca,

tapi buku itu belum ditulis, maka kamulah yang mesti menulisnya.

~ Toni Morrison


0 komen: