Sumber: QUOTES4all

Iklan berbayar

01 Mei 2008

Hari Pekerja Berang

01 Mei adalah hari Pekerja Sedunia 'bercuti' selepas bertungkus lumus menjalankan tugas. Hari Pekerja ini layak dinikmati oleh bukan sahaja pekerja yang telah berkhidmat dengan cemerlang tetapi juga pekerja yang sekadar menjadi perhiasan ataupun boneka di tempat kerja.

Saya mengambil kesempatan bercuti di depan TV sempena hari pekerja yang pada prasangka saya adalah satu sambutan yang meriah seperti menyambut hari kemerdekaan ataupun hari tahun baru. Namun sangkaan saya meleset apabila berita yang dipaparkan adalah sebaliknya.

Di Indonesia, lebih 40,000 penduduk mengadakan demonstrasi sambil mengibarkan sepanduk berbunyi “Kurangkan Harga Makanan Sekarang”, “Lebih Gaji untuk Pekerja dan Petani" dan "Turunkan Harga Minyak!"

Ketua polis Jakarta menggunakan helikopter dengan seramai 60,000 anggota keselamatan meraikan sambutan hari pekerja tetapi dengan cara yang berbeza iaitu sebagai pengawal demonstrasi tersebut.

Sementara itu di Manila, ribuan rakyat Filipina memenuhi jalan raya ibu negara itu dan beberapa tempat lain termasuk di depan Istana Malacanang iaitu kediaman Presiden Gloria Macapagal Arroyo. Mereka berarak membawa sepanduk “Pekerjaan, Keadilan dan Makanan” serta turut mendesak Arroyo meletak jawatan.

“Rejim Arroyo terkenal sebagai antipekerja dan antirakyat. Walaupun dilanda krisis yang teruk, tiada kelegaan yang bermakna dirasai. Kami adalah pekerja yang rajin dan menghormati peraturan kerja tetapi kerajaan tidak mempedulikan kami. ‘Gunung berapi sosial' menanti masa untuk meletus,” kata seorang ahli kumpulan aktivis Bayan, Carol Araullo.

Ketua polis Manila, Jeneral Geary Barias menyatakan yang penunjuk perasaan dibenar melakukan protes dekat Istana Malacanang kerana perarakan Hari Pekerja Sedunia turut diadakan di situ.

Di Turki, polis berpesta menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan belantan untuk menyuraikan orang ramai yang terkinja-kinja menari pelbagai rentak di depan bangunan gabungan kesatuan pekerja berhaluan kiri yang masih belum mencapai kata sepakat dengan kerajaan. Beberapa penunjuk perasaan cedera kerana berlaga kepala sesama sendiri dan sebilangannya ditahan polis.

Kerajaan menyekat kumpulan itu daripada memasuki Dataran Taksim yang mempunyai nilai simbolik Hari Pekerja kerana pernah menjadi tempat terkorbannya 34 penunjuk perasaan pada 1 Mei 1977. Media menganggarkan lebih 30,000 anggota keselamatan ditugaskan mengawal kawasan bersejarah itu ketika polis cuba berunding dengan kesatuan sekerja.

Sementara di India, kira-kira 3,000 wanita pelayan batin yang menganggap bahawa pekerjaan mereka merupakan pekerjaan yang paling berisiko sama seperti pekerjaan juruterbang turut mengambil peluang menuntut agar mereka dilindungi di bawah undang-undang buruh dan mula berarak seawal subuh di Kolkata.

Di Singapura, seorang ahli politik pembangkang dan tujuh penyokongnya mengadakan tunjuk perasaan Hari Pekerja menentang kenaikan kos sara hidup di negara itu. Chee Soon Juan dan penyokong beliau memakai baju-T merah tertulis dengan perkataan 'Tak Boleh Tahan' sambil mengedarkan risalah hak kenaikan gaji kepada orang ramai di kawasan berkenaan.

Di Athens, perkhidmatan pengangkutan awam dan penerbangan syarikat kebangsaan, Olympic Airlines, terganggu berikutan bantahan pekerja meliputi isu pengangguran, kenaikan kos sara hidup dan keselamatan sosial.

Di Labuan, beberapa orang yang baru keluar dari restoran tertentu kelihatan terhuyung-hayang. "Saya tidak pasti samada mereka terminum toksik dan berkesudahan dengan menjadi Zombie seperti dalam filem Jangan Pandang Belakang." kata seorang rakan saya.


(Sumber: RTM , CNN, Utusan Malaysia, Berita Harian)

0 komen: